Menanti negara Palestin
Merayakan “ulang tahun Israel yang ke-60” bererti menari di atas kubur orang-orang Palestin dengan iringan berlarutan lagu perampasan dan ketidakadilan pelbagai sudut. Demikian dicatat dalam sebuah iklan yang terbit dalam akhbar International Herald Tribune keluaran 10-11 Mei lalu.
Iklan seumpamanya tidak pernah tersiar sebelum ini. Ia diberi tajuk: 60 years of Palestinian dispossession... No reason to celebrate Israel at 60!
Ia ditandatangani oleh para penulis, ahli-ahli falsafah, wartawan, ahli muzik, pembikin filem dan lainlain lagi dari Britain, Brazil, Israel, Afrika Selatan, Australia, Amerika, Mesir, Sepanyol, Belgium, Ireland, Lebanon dan Palestin.
Iklan bermula dengan kata-kata oleh mendiang Profesor Edward Said ketika dahulu mengulas perayaan “ulang tahun Israel ke-50” di Amerika pada tahun 1998. Beliau menulis, antara lain: “Walaupun telah 50 tahun hidup dalam pembuangan dari Palestin, namun saya masih terperanjat menyaksikan Israel dan para penyokongnya terus memadamkan hakikat bahawa 50 tahun telah berlalu tanpa gantirugi oleh Israel, pengiktirafan dan pengakuan olehnya mengenai hak-hak asasi manusia Palestin. Nakba Palestin...” Nakba bererti malapetaka.
Iklan selanjutnya menyatakan: “Israel pada umur 60 tahun adalah sebuah negara yang masih menafikan hak-hak asasi warga Palestin yang telah diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu semata-mata kerana mereka non-Jews. Ia masih secara haram menduduki bumi Palestin dan lain-lain negara Arab, yakni mencabul pelbagai resolusi Bangsa-Bangsa Bersatu. Ia masih melakukan diskriminasi ke atas warga Palestinnya sendiri.”
Wujud
Seperti ternyata sambutan ulang tahun ke-60 itu telah pun dilaporkan oleh media massa. Sementara itu juga Setiausaha Negara Amerika, Condoleezza Rice, ketika kesekian kali mengunjungi Timur Tengah, terus menyatakan harapan bahawa negara Palestin akan wujud sebelum tamat pentadbiran Presiden Bush pada akhir tahun 2008.
Namun, tanda tanya terus muncul apakan hal itu akan berlaku hasil rundingan-rundingan damai di antara Israel dan pejuang-pejuang Palestin. Majalah Economist, London dalam satu laporan terbaru menyebut mengenai The Wandering Palestinian. Telah pun disebut oleh akhbar Barat ialah kedudukan ketika ini:
l Gaza dikuasai oleh golongan Hamas sejak memenangi pilihan raya tahun 2006. Jumlah penduduk 1.5 juta. Pengangguran 33 peratus. Bilangan penduduk yang miskin 51 peratus.
l Tebing Barat dikuasai oleh golongan Fatah pimpinan Presiden Mahmoud Abbas. Jumlah penduduk 2.5 juta. Pengangguran 19 peratus. Bilangan penduduk yang miskin 24 peratus. Dalam pada itu 160 perkampungan penduduk Israel telah diadakan di Tebing Barat dan bilangan penduduknya meningkat dari 150,000 hingga 250,000 orang.
Menurut laporan baru-baru ini, Presiden Mahmoud Abbas telah berkunjung ke Washington mengenai rancangan Israel untuk menambah lagi bilangan perkampungan Israel di Tebing Barat. Persoalannya: Betapa rundingan- rundingan damai boleh diteruskan jika ini terus berlaku? Beliau dilaporkan kembali tanpa menerima jawapan memuaskan mengenainya.
Dalam interviu televisyen di Tebing Barat kemudiannya Condoleezza Rice menjawab pertanyaan wartawan: Perkampungan Israel di Tebing Barat memang problematical.
Laporan mengenai begitu ramainya warga Palestin terpaksa lari, dihalau dan merantau mencari perlindungan di negara-negara Arab lain mencatat sebuah kisah sedih seorang bernama Lana Bydas, lulusan American University di Kaherah. Beliau terpaksa menunggu selama 18 bulan untuk mendapat surat izin bermastautin dan terpaksa berulang- alik ke Syria, sebanyak 18 kali kerana ia hanya mempunyai visa pelancong. Lalu ia mengadu hal kepada seorang sahabat yang kemudian menjawab: can’t you just stop being Palestinian?
Mungkinkah kerana persoalan-persoalan seumpama maka pada minggu lalu juga tersiar makalah bertajuk Perjanjian Damai Timur Tengah Mustahil.
Di samping itu ialah kenyataan Hillary Clinton, salah seorang calon Parti Demokrat yang ingin menjadi Presiden Amerika dalam pilihan raya presiden bulan November nanti. Beliau memberi amaran bahawa Amerika boleh “meranapkan” Iran jika ia menggunakan senjata nuklear ke atas Israel. Selama ini Iran dianggap penyokong Hamas.
Catatan kaki: Antara yang menandatangani iklan dalam akhbar International Herald Tribune, Tariq Ali (penulis, UK), John Berger (penulis UK), Augusta Boal (penulis Brazil), Ella Shohar (penulis Amerika/Israel), Andre Brink (penulis Afrika Selatan), Aharon Shabtai (penulis puisi, Israel), Judith Butler (ahli falsafah, Amerika), Vicenzo Consolo (penulis Itali).
Tom Leonard (penulis puisi, Scotland), Antony Loewenstein (penulis Australia), Patrice Nganang (penulis Cameroon), Demis Roussos (penyanyi Greece), Naomi Wallace (penulis Amerika), Tom Lanoya (penulis Belgium), Radwa Ashour (penulis Mesir), Victoria Brittain (penulis UK), Caryl Churchill (penulis UK) Elias Khoury (penulis Lebanon).
Penulis ialah konsultan
kanan ISIS Malaysia. Pandangan penulis adalah pendapat peribadi dan tidak ada kena-mengena dengan ISIS.
Sunday, May 18, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment