Sunday, March 8, 2009

Keamanan menerusi lukisan

Keamanan menerusi lukisan

Oleh SY MUSSADDAD MAHDI

Buat julung-julung kalinya, RA Fine Art Galerry dengan kerjasama South-South Information Gateway (SSIG) menganjurkan sebuah pameran seni antarabangsa, Peace- Expressions of Hope pada 25 hingga 28 Februari lalu.

Sebanyak 25 orang pelukis dari enam buah negara iaitu Palestin, Bosnia, Indonesia, Brunei, Singapura dan Malaysia mempamerkan karya-karya masing-masing di pameran ini.

Antara pelukis yang mengambil bahagian ialah Abdul Rahman Katanani, Rohaifa Qassim (Palestin), Merima Turbic, Sendka Hukic, Cazim Sarajlic (Bosnia), Zakaria Omar, Pangeran Timbang, Dayang Ampuan Siti Ramlah, Dayang Armachester Arsad (Brunei) dan lima pelukis dari Indonesia.

Negara kita pula diwakili oleh pelukis mapan seperti Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal, Bayu Utomo Radjikan, Long Thien Shih, Ruzzeki Harris dan ramai lagi.

Bukan setakat lukisan yang dipamerkan, malah ia turut merangkumi seni rupa yang lain. Paling menarik pameran foto oleh Khairil Anuar Khalid mengenai konflik yang berlaku di Gaza baru-baru ini.

Pameran yang berlangsung sempena Persidangan Antarabangsa Belia dan Keganasan ini turut membuka tawaran kepada mereka yang berminat untuk mendapatkan lukisan dan sebahagian daripada jualan tersebut akan didermakan kepada tabung amal SIGG.

Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah turut berkenan melawat pameran lukisan yang diadakan di Hotel Nikko Kuala Lumpur.

Bagi Pengarah, RA Fine Art Galerry, Raja Ahmad Aminullah, beliau berbangga dengan pameran yang berlangsung itu terutamanya membabitkan beberapa buah negara luar.

Ujarnya, bukan mudah untuk orang ramai melihat pameran yang menghimpunkan karya-karya hebat pelukis mapan dari serata dunia yang dilakukan di negara kita.

"Walaupun karya-karya yang dipamerkan itu sememangnya hebat, masih ada lagi peluang untuk pelukis-pelukis muda mengambil peluang yang ada untuk mempamerkan karya hebat mereka.

Paling mencuri tumpuan sudah tentu karya-karya daripada peserta luar negara terutamanya dari Bosnia. Kali ini mereka diwakili oleh tiga pelukis yang berbakat besar untuk sama-sama berkongsi rasa dengan rakyat Malaysia yang lain.

Walaupun hanya seorang sahaja daripada mereka yang hadir ke pameran ini, namun karya-karya hebat mereka tetap ditunggu-tunggu oleh setiap peminat lukisan memandangkan banyak keistimewaan yang ditonjolkan kali ini.

Menurut Raja Ahmad, walaupun negara Bosnia baru sahaja dibangunkan balik selepas berlakunya peperangan, karya yang dipamerkan tidaklah menggambarkan kesedihan sepenuhnya.

"Karya-karya yang mereka pamerkan kali ini memang cantik dan yang penting banyak penggunaan warna yang baru dan lebih segar. Ia sedikit sebanyak menimbulkan minat orang ramai untuk mengetahui dengan lebih dekat keistimewaan mereka.

"Secara keseluruhannya hampir kesemua karya hebat dan mempunyai mesej terutamanya melibatkan konflik dunia pada masa kini," jelasnya lagi.