Sunday, June 8, 2008

Putar belit fakta sejarah

Putar belit fakta sejarah

Jurang maklumat dan putar belit fakta berlaku dalam mata pelajaran sejarah di sekolah-sekolah semasa penjajahan dulu. Lalu para pelajar diberitahu: Orang Yunani adalah wira dan orang Parsi adalah bajingan. Dalam perpustakaan di sekolah terdapat buku-buku mengenai empayar Rome, tetapi tiada satu mengenai Persepolis.

Demikian juga berlaku dewasa ini melalui sesetengah jurusan media massa akhbar, televisyen dan Internet. Di samping itu terdapat ulasan berat sebelah oleh yang dipanggil “bloggers.” Akhirnya persepsi lebih penting dari keadaan sebenar. Demikian berlaku terhadap Iran setelah menjadi Republik Islam pada 1 April 1979.

Maka pada minggu lalu seorang lagi pemimpin Iran mengunjungi Malaysia dan dengan itu menyambung lawatan sebelumnya oleh Presiden Rafsanjani, Presiden Khatami dan Presiden Ahmadinejad. Pelawat tersebut, Dr. Ali Akhbar Velayati telah menjadi Menteri Luar selama 16 tahun dan kini menjadi penasihat kepada pemimpin utama Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Dalam satu ucapan kemudiannya beliau berbicara atas tajuk Mencari Kedamaian di Timur Tengah: Dari Perspektif Iran. Seperti diketahui pertelingkahan muncul bersabit rancangan nuklearnya dan pihak lawan menuduh Iran sedang berusaha secara sulit untuk mengadakan senjata nuklear.

Secara kebetulan pada minggu lalu juga bekas Presiden Carter menyebut mengenai Israel mempunyai kira-kira 150 bom nuklear di samping Amerika dan Rusia memiliki lebih 10,000 senjata nuklear. Lain-lain negara yang punyai senjata nuklear: Britain, Perancis, India, Pakistan, China.

Kehilangan

Pada hakikatnya kelahiran Republik Islam di Iran bererti Amerika telah kehilangan rakan sekutu yang penting di Timur Tengah. Pelbagai persoalan diajukan manakala Iraq semasa pimpinan Presiden Saddam Hussein menyerang Iran dan perang berlarutan selama lapan tahun hingga 1988.

Bagi warga Malaysia yang kesempatan mengunjungi Iran salah satu bandar terpenting ialah Isfahan. Antara lain ialah kerana Isfahan telah diisytiharkan sebagai “twin city” Kuala Lumpur. Pertanyaan: Apa berlaku berikutan langkah tersebut? Satu rombongan yang diketuai oleh Datuk Bandar Iran, Hamid Reza Azimien telah pun melawat Kuala Lumpur. Dari Kuala Lumpur pula?

Isfahan yang lahir pada abad keempat bukan saja terkenal kerana pelbagai masjidnya yang indah tetapi juga kerana industri-industri besi waja dan penapis minyak, umpamanya, kompleks kilang- kilang besi waja yang mempunyai kira-kira 30,000 pekerja. Ia dibina semasa dulu oleh para jurutera Kesatuan Soviet dan diperbaharui oleh para jurutera Jepun selepas Revolusi Iran.

Antara tempat penginapan yang terpilih ialah Hotel Kowsar. Nama diambil dari surah Al-Kowsar. Adakalanya pelawat dibawa selepas solat maghrib ke tanah perkuburan yang diberi nama “Taman Bunga Pengorbanan Syahid.” Kerana, dikebumikan di situ ialah beribu perajurit Iran yang mati dalam perang selama lapan tahun dengan Iraq dan yang menjadi pejuang revolusi, terhadap pemerintahan Shah Iran. Lampu-lampu seperti di jalan raya dipasang dan kelihatan saudara mara menyiram air dan membaca ayat-ayat suci.

Pada batu-batu nisan terdapat gambar-gambar yang mati di medan perang. Suasana sunyi sepi, ketenangan dan kesentosaan menyelubungi segalanya.

Peminat suka pula dapat menyaksikan pertandingan gusti ala-Iran. Turut sama beberapa orang berumur 60 tahun lebih bersenam dengan kayu belantan selama dua jam sambil diiringi juruhebah yang memukul gendang dan juga melafaz selawat nabi.

Bagi para peminat sastera pula termasuk di kalangan dunia Barat ialah puisi oleh Omar Khayyam. Antara yang sering disebut ialah puisi “mari minum wine dan seterusnya bergembira.” Tetapi bagi warga Iran sendiri yang diminati ialah puisi oleh Firdousi yang telah menulis 60,000 rangkap puisi selama 30 tahun, berjudul Shah Nameh. Antaranya ialah yang berbunyi:

“Jika dunia mendedah segalanya permulaan dan akhirnya pasti menunjukkan raja-raja di suatu pihak dan darah para hulubalang di sampingnya demikian dunia yang fana ini.”

Pada beberapa waktu lampau berlaku gerakan oleh Parti Tudeh yang komunis di Iran tetapi ia tidak berjaya mendapat sokongan rakyat. Dicatat kemudiannya ialah sikap Imam Khomeni menolak faham komunis sebagaimana ia menentang penjajahan. Beliau meninggal dunia pada 3 Jun 1989. Dipilih menggantikannya ialah Ayatollah Ali Khamenie. Roda sejarah terus berputar. Iran antara negara Islam yang menewaskan ideologi bikinan manusia.

Penulis ialah konsultan

kanan ISIS Malaysia. Pandangan penulis adalah pendapat peribadi dan tidak ada kena-mengena dengan ISIS.

Sunday, May 18, 2008

Palestine Issue

Menanti negara Palestin

Merayakan “ulang tahun Israel yang ke-60” bererti menari di atas kubur orang-orang Palestin dengan iringan berlarutan lagu perampasan dan ketidakadilan pelbagai sudut. Demikian dicatat dalam sebuah iklan yang terbit dalam akhbar International Herald Tribune keluaran 10-11 Mei lalu.

Iklan seumpamanya tidak pernah tersiar sebelum ini. Ia diberi tajuk: 60 years of Palestinian dispossession... No reason to celebrate Israel at 60!

Ia ditandatangani oleh para penulis, ahli-ahli falsafah, wartawan, ahli muzik, pembikin filem dan lainlain lagi dari Britain, Brazil, Israel, Afrika Selatan, Australia, Amerika, Mesir, Sepanyol, Belgium, Ireland, Lebanon dan Palestin.

Iklan bermula dengan kata-kata oleh mendiang Profesor Edward Said ketika dahulu mengulas perayaan “ulang tahun Israel ke-50” di Amerika pada tahun 1998. Beliau menulis, antara lain: “Walaupun telah 50 tahun hidup dalam pembuangan dari Palestin, namun saya masih terperanjat menyaksikan Israel dan para penyokongnya terus memadamkan hakikat bahawa 50 tahun telah berlalu tanpa gantirugi oleh Israel, pengiktirafan dan pengakuan olehnya mengenai hak-hak asasi manusia Palestin. Nakba Palestin...” Nakba bererti malapetaka.

Iklan selanjutnya menyatakan: “Israel pada umur 60 tahun adalah sebuah negara yang masih menafikan hak-hak asasi warga Palestin yang telah diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu semata-mata kerana mereka non-Jews. Ia masih secara haram menduduki bumi Palestin dan lain-lain negara Arab, yakni mencabul pelbagai resolusi Bangsa-Bangsa Bersatu. Ia masih melakukan diskriminasi ke atas warga Palestinnya sendiri.”

Wujud

Seperti ternyata sambutan ulang tahun ke-60 itu telah pun dilaporkan oleh media massa. Sementara itu juga Setiausaha Negara Amerika, Condoleezza Rice, ketika kesekian kali mengunjungi Timur Tengah, terus menyatakan harapan bahawa negara Palestin akan wujud sebelum tamat pentadbiran Presiden Bush pada akhir tahun 2008.

Namun, tanda tanya terus muncul apakan hal itu akan berlaku hasil rundingan-rundingan damai di antara Israel dan pejuang-pejuang Palestin. Majalah Economist, London dalam satu laporan terbaru menyebut mengenai The Wandering Palestinian. Telah pun disebut oleh akhbar Barat ialah kedudukan ketika ini:

l Gaza dikuasai oleh golongan Hamas sejak memenangi pilihan raya tahun 2006. Jumlah penduduk 1.5 juta. Pengangguran 33 peratus. Bilangan penduduk yang miskin 51 peratus.

l Tebing Barat dikuasai oleh golongan Fatah pimpinan Presiden Mahmoud Abbas. Jumlah penduduk 2.5 juta. Pengangguran 19 peratus. Bilangan penduduk yang miskin 24 peratus. Dalam pada itu 160 perkampungan penduduk Israel telah diadakan di Tebing Barat dan bilangan penduduknya meningkat dari 150,000 hingga 250,000 orang.

Menurut laporan baru-baru ini, Presiden Mahmoud Abbas telah berkunjung ke Washington mengenai rancangan Israel untuk menambah lagi bilangan perkampungan Israel di Tebing Barat. Persoalannya: Betapa rundingan- rundingan damai boleh diteruskan jika ini terus berlaku? Beliau dilaporkan kembali tanpa menerima jawapan memuaskan mengenainya.

Dalam interviu televisyen di Tebing Barat kemudiannya Condoleezza Rice menjawab pertanyaan wartawan: Perkampungan Israel di Tebing Barat memang problematical.

Laporan mengenai begitu ramainya warga Palestin terpaksa lari, dihalau dan merantau mencari perlindungan di negara-negara Arab lain mencatat sebuah kisah sedih seorang bernama Lana Bydas, lulusan American University di Kaherah. Beliau terpaksa menunggu selama 18 bulan untuk mendapat surat izin bermastautin dan terpaksa berulang- alik ke Syria, sebanyak 18 kali kerana ia hanya mempunyai visa pelancong. Lalu ia mengadu hal kepada seorang sahabat yang kemudian menjawab: can’t you just stop being Palestinian?

Mungkinkah kerana persoalan-persoalan seumpama maka pada minggu lalu juga tersiar makalah bertajuk Perjanjian Damai Timur Tengah Mustahil.

Di samping itu ialah kenyataan Hillary Clinton, salah seorang calon Parti Demokrat yang ingin menjadi Presiden Amerika dalam pilihan raya presiden bulan November nanti. Beliau memberi amaran bahawa Amerika boleh “meranapkan” Iran jika ia menggunakan senjata nuklear ke atas Israel. Selama ini Iran dianggap penyokong Hamas.

Catatan kaki: Antara yang menandatangani iklan dalam akhbar International Herald Tribune, Tariq Ali (penulis, UK), John Berger (penulis UK), Augusta Boal (penulis Brazil), Ella Shohar (penulis Amerika/Israel), Andre Brink (penulis Afrika Selatan), Aharon Shabtai (penulis puisi, Israel), Judith Butler (ahli falsafah, Amerika), Vicenzo Consolo (penulis Itali).

Tom Leonard (penulis puisi, Scotland), Antony Loewenstein (penulis Australia), Patrice Nganang (penulis Cameroon), Demis Roussos (penyanyi Greece), Naomi Wallace (penulis Amerika), Tom Lanoya (penulis Belgium), Radwa Ashour (penulis Mesir), Victoria Brittain (penulis UK), Caryl Churchill (penulis UK) Elias Khoury (penulis Lebanon).

Penulis ialah konsultan

kanan ISIS Malaysia. Pandangan penulis adalah pendapat peribadi dan tidak ada kena-mengena dengan ISIS.